Poligami Memberi Kebaikan Untuk Wanita
Para isteri begitu fobia mendengar perbincangan atau berita mengenai poligami, biarpun tidak melibatkan suami sendiri. Mereka sepakat membantah sebarang maksud berkaitan poligami.Sebenarnya, isu poligami tidak menjadi kecoh jika kedua-dua pihak, suami dan isteri, termasuk juga ahli keluarga dan masyarakat melihatnya dari sudut positif. Isu poligami perlu diperjalaskan bagi mengelak salah faham dan tidak ada pihak mengambil kesempatan.
Islam membenarkan lelaki beristeri lebih daripada seorang, sehingga empat pada satu masa bukan bersifat menguntungkan kaum lelaki semata-mata. Poligami juga bertujuan mendatangkan kebaikan kepada wanita mendapat perlindungan, kasih sayang dan nafkah.
Kebenaran lelaki berpoligami terkandung dalam ayat 3 surah an-Nisa bermaksud: ?Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim apabila kamu mengahwininya, maka kahwinlah perempuan lain yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.?
Asbabul-nuzul atau sebab turun ayat itu ialah menyekat amalan tidak baik di kalangan lelaki Arab (yang dibawa daripada amalan Jahiliah) sebagai penjaga (wali) kepada wanita yatim, yang mana perkahwinan itu sering menyebabkan penganiayaan kepada anak yatim.
Sejarah lelaki berpoligami bukan bermula dari syariat Islam dibawakan Nabi Muhammad seperti tomohan dilakukan oleh orientalis Barat. Amalan poligami telah berlaku sejak ribuan tahun lalu, sesuai dengan tabie manusia.
Umat-umat nabi terdahulu telah mengamalkan poligami, termasuk juga di kalangan penganut agama lain. Masyarakat Barat juga pernah menerima amalan berpoligami, sebelum diharamkan oleh undang-undang gereja dan kemudiannya diikuti undang-undang negara.
Amalan poligami paling hina diamalkan masyarakat Arab Jahiliah yang sesuka hati berpoligami dan melakukan amalan pernikahan yang meletakkan taraf wanita seperti barang dagangan.
Lelaki Arab Jahiliah mengamalkan perkahwinan bertukar-tukar isteri sesama sendiri yang dipanggil al-badal. Seorang isteri juga boleh digadai kepada orang kaya jika suami ingin mendapat wang atau berdepan dengan masalah hutang.
Masyarakat Arab Jahiliah juga mengamalkan perkongsian isteri bagi wanita yang menjadi rebutan lelaki untuk mengelak pergaduhan memiliki wanita cantik. Hal in terjadi disebabkan hawa nafsu semata-mata.
Nasib wanita sebelum kedatangan Islam amat malang yang dianggap sebagai bahan pemuas nafsu lelaki semata-mata. Lantas, dengan kehadiran Islam, syariat yang syumul telah meletakkan wanita pada kedudukan yang terbaik dalam sejarah kehidupan manusia.
Sesungguhnya, selepas memeluk Islam, lelaki Arab Jahiliyah sanggup meninggalkan amalan bertuhankan kepada nafsu yang selama itu dibanggakan oleh mereka.
Contohnya, Ghailan bin Salamah ketika sebelum memeluk Islam mempunyai 11 isteri. Bagaimanapun, setelah dijelaskan oleh Rasulullah bahawa lelaki Islam hanya dibenarkan memiliki empat isteri, maka dia telah memilih empat yang terbaik baginya dan menceraikan yang lain.
Sabda Rasulullah bermaksud: ?Pilih dari kalangan empat orang saja.? (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi).
Jelas sekali kebenaran lelaki berkahwin sehingga empat orang pada satu-satu masa bukan bersifat memenuhi hawa nafsu semata-mata. Apabila lelaki berpoligami, sebenarnya ada lebih daripada seorang wanita menjadi isteri.
Wanita yang dimadukan jangan memikirkan nasibnya dimadukan, tetapi fikirkan apakah nasib wanita yang terus hidup tanpa suami. Berkongsi suami lebih baik daripada tidak bersuami.
Wanita perlu menyakini keharusan berpoligami dalam syariat Islam adalah juga untuk kebaikan wanita. Allah tidak membenarkan sesuatu melainkan yang mendatangkan kebaikan.
Apakah nasib isteri jika Islam tidak membenarkan poligami, sedangkan suami ?hendak? sesuatu yang tidak mampu dipenuhi oleh isteri. Antara kehendak itu ialah kecantikan, ingin zuriat, status, isteri tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan sebagainya.
Suami terpaksa membuat pilihan sama ada terus bersama isteri yang tidak mampu memenuhi keperluannya atau menceraikan isterinya dan kemudian mencari wanita lain.
Dengan ada kebenaran poligami, suami tidak perlu menceraikan isteri bagi memenuhi keperluan itu. Dengan kata lain, amalan poligami dapat mengelak isteri mengalami nasib terpaksa diceraikan suami.
Bagaimanapun, suami tidak wajar menjadikan alasan tersebut untuk berpoligami dengan sewenangnya. Allah menegaskan betapa pentingnya suami menjalankan tugas dengan adil dan bertanggungjawab.
Firman Allah bermaksud: ?Dan sesungguhnya kamu bersedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat.?(Surah an-Nisa, ayat 21).
Perkara utama disyarat untuk suami berpoligami ialah dapat berlaku adil meliputi aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian dan aspek lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak-anak.
Biarpun nafkah zahir atau wang ringgit boleh dikira, hakikatnya keadilan itu juga masih sukar untuk diterjemahkan sepenuhnya. Membahagikan sama banyak peruntukan bulanan belum menentukan telah adil sebenarnya.
Mana-mana isteri mungkin memerlukan perbelanjaan lebih disebabkan dia perlu untuk kos rawatan, mempunyai bilangan anak lebih ramai, keperluan pemakanan berbeza, keperluan harian berbeza dan sebagainya.
Jika perkara yang boleh dihitung tidak boleh lagi ditentukan sama adil, inikan pula kasih sayang dan nafkah batin. Jadi, bagi suami ingin berpoligami jangan mudah mengaku dapat berlaku adil.
Allah telah mengingtkan betapa sukarnya berlaku adil. Firman Allah bermaksud: ?Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri (mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.? (Surah an-Nisa, ayat 129).
Sebenarnya keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah keadilan yang hakiki atau tidak sedikitpun berat sebelah. Dalam keadaan apa sekalipun, manusia tidak dapat berlaku adil sepenuhnya.
Keadilan dalam berpoligami bermakna suami melihat isteri-isteri dalam satu dimansi yang sama. Suami tidak membezakan kecantikan, umur dan perkara lain yang berkaitan kelebihan dan kekurangan seseorang isteri.
Allah memberi peringatan kepada suami agar tidak membiarkan isteri tanpa mendapat hak sewajarnya. Namun, jika suami telah berusaha berlaku adil, mana-mana kekurangan yang dilakukan akan Allah ampunkan.
Sambungan daripada surah an-Nisa, ayat 129 bermaksud: ?Kerana itu jangan kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (daripada kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.?
Suami berpoligami perlu bersikap jujur menunaikan hak setiap isterinya mengikut kemampuan. Penentuan kemampuan suami berlaku adil terletak pada diri suami sendiri. Suami akan bertanggungjawab di hadapan Allah di atas amanah dan tanggungjawabnya.
Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: ?Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia cenderong kepada salah seorang mereka, dia akan hadir pada hari kiamat dalam keadaan sebelah rusuknya senget.?
Setiap isteri berhak mendapat pembiayaan daripada suami, walaupun dia mempunyai sumber kewangan sendiri yang cukup.
Firman Allah bermaksud: Orang yang mampu hendaklah memberikan belanja sesuai dengan kemampuannya. Dan sesiapa yang terbatas rezekinya, hendaklah memberikan belanja sesuai dengan pemberian Allah kepadanya.? (Surah at-Talaq, ayat 6).
Islam mengharuskan berpoligami bertujuan kebaikan. Suami ditegah berpoligami jika dirasakan akan mendatangkan keburukan, terutamanya menyebabkan berlaku zalim terhadap isteri.
sumber: virtualfriends dot net
this guy an epic, salam kreatif
ReplyDeletehttp://bordiranku.com